Resepi Ketam Masak Lemak Bersama Nanas

Assalamualaikum wbt..Salam Sejahtera..

Tugas hakiki sebagai seorang surirumah antaranya ialah memasak. Malu juga digelar surirumah tetapi apabila suami pulang, terpaksa makan malam di luar. Walau ringkas sekadar singgang ikan, saya cuba sedaya upaya memasak untuk keluarga. Anak-anak pula nampak lebih berselera makan nasi jika saya memasak berbanding makan di luar.

Memang rutin setiap petang Selasa, saya akan ke pasar malam untuk membeli stok lauk basah untuk seminggu. Saya suka ke pasar malam kerana bahan basahnya segar. Harga juga berpatutan terutamanya sayuran. Hasil tangkapan saya semalam ialah udang, ketam, sotong dan ayam selain sayuran. Minggu ini tidak bercadang untuk membeli ikan memandangkan minggu lepas boleh dikatakan hari-hari saya memasak masakan berteraskan ikan.

Daripada hasil tangkapan, anak saya yang sulung minta untuk saya masakkan ketam terlebih dahulu. Anak-anak memang sukakan ketam tetapi kesukaran untuk mengopek ketika makan membuatkan saya jarang memilih ketam. Untuk hari ini, saya masakkan ketam masak lemak bersama nanas untuk anak saya.

Bahan-bahan:

  1. 5 ekor ketam segar
  2. santan cair
  3. santan pekat
  4. 2 batang serai diketuk
  5. asam keping
  6. 1/4 nanas (letak banyak jika suka)
  7. 2 biji cili besar
  8. garam

Bahan-bahan tumbuk

  1. 10 biji ciliĀ  padi
  2. sebiji ulas bawang besar
  3. 2 ulas bawang putih
  4. 1 inci kunyit hidup
  5. 1 inci halia

 

Cara-cara:

  1. Tumbuk kesemua bahan-bahan tumbuk kecuali cili padi (saya asing sebab anak tidak suka makan pedas). Jika anak suka, boleh tumbuk sekali
  2. Masukkan santan cair, serai yang telah diketuk dan bahan-bahan tumbuk ke dalam periuk
  3. Kacau sentiasa sehingga kuah mendidih. Masukkan nanas
  4. Masukkan ketam, asam keping dan cili besar yang telah dipotong panjang
  5. Kacau sehingga ketam masak dan perasakan dengan garam. Saya asingkan ketam dan kuah untuk anak-anak. Kemudian barulah saya masukkan cili padi yang telah ditumbuk
  6. Siap dan boleh dihidangkan

 

Masak lemak ketam memang sangat mudah dan rasanya sedap. Cuma kena sabar sedikit ketika makan kerana agak rumit untuk mendapatkan isi ketam. Sebagai tips tambahan, anda boleh ketuk sepit ketam ketika menyiangnya supaya mudah untuk anda mengeluarkan isinya.

Taraaa….

ketam masak lemak

 

Inilah hasilnya dan sudah selamat pun masuk ke dalam perut. Alhamdulillah…dan selamat mencuba!!

1 comment for “Resepi Ketam Masak Lemak Bersama Nanas

  1. November 26, 2014 at 9:26 am

    Kalau masak lemak ketam ni..memqng kene cukup cilinya..baru best. Hehe
    ohcikgu recently posted…Buat Duit Di iLancee.comMy Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge