Tanda-Tanda Awal Kehamilan Yang Anda Patut Tahu Terutamanya Jika Kali Pertama Hamil

Assalamualaikum wbt..salam sejahtera..

Seronoknya pasangan suami isteri yang baru disahkan bakal mendapat cahaya mata. Lebih-lebih lagi jika ini merupakan kandungan yang pertama. Senyum lebar si isteri keluar dari bilir air sambil menunjukkan dua garisan terang pada urine pregnancy test. Inilah momen yang paling ditunggu-tunggu oleh si suami dan isteri yang tidak sabar untuk menimang cahaya mata.

tanda-tanda awal kehamilan positif upt

Ada beberapa tanda yang sering terjadi kepada wanita yang disahkan hamil. Kebiasaannya ibu yang pernah hamil, pasti biasa dengan tanda-tanda kehamilan. Bagi ibu yang pertama kali hamil, mungkin kurang fasih dengan perubahan dalam diri yang berlaku. Semoga perkongsian tanda-tanda awal kehamilan di bawah boleh membantu anda.

#1. Haid Lewat

Ini merupakan tanda paling mudah untuk dikesan sekiranya haid anda jenis yang tetap. Apabila haid sudah pun lewat sehari, anda sudah boleh cek sebenarnya. Cuma mungkin garisan pada UPT agak kabur. Anda boleh baca waktu paling sesuai untuk cek UPT.

tanda-tanda awal kehamilan haid lewat

Tetapi agak masalah bagi wanita yang tidak mempunyai haid tetap. Itu yang ada wanita lagi seminggu nak bersalin baru tahu dirinya sedang hamil. Jika anda sedang menunggu kehadiran cahaya mata tetapi mempunyai haid yang tidak tetap, anda boleh baca petanda kehamilan yang seterusnya

#2. Payudara Sensitif Dan Terasa Menegang

Bagi wanita yang ada tanda kedua ini, payudara anda akan rasa menegang dan agak berat dari kebiasaanya. Ia juga dikenali sebagai tender breast dalam istilah Bahasa Inggeris.

Payudara akan terus menegang dan semakin membesar seiring dengan pembesaran bayi dalam kandungan. Ia sebagai persediaan kepada si ibu untuk menyusukan bayi apabila lahir nanti. Oleh itu, pakailah pakaian dalam yang mampu untuk menampung saiz baru payudara anda.

Ketika hamil juga, anda dah boleh siapkan diri anda dengan ilmu penyusuan. Jadi proses penyusuan akan lebih mudah dan lancar.

#3. Asyik Mengantuk Dan Mudah Letih

Banyak perkara pelik yang tidak biasa anda alami akan anda alami apabila anda sedang berada di awal kehamilan. Jika kebiasaannya anda seorang yang sentiasa bergerak aktif dan jarang tidur pada waktu siang, perubahan mungkin berlaku dengan agak ketara. Mata anda sering sahaja mengantuk seolah-olah anda tidak cukup tidur.

Kadang-kadang saja baring untuk berehat, tanpa disangka mudah sahaja tertidur. Itulah penangan ibu yang sedang berada di fasa awal kehamilan.

tanda-tanda awal kehamilan mudah mengantuk mudah letih

Ianya berlaku akibat perubahan hormon di dalam badan. Jadi para suami kenalah faham. Jangan pula disangka si isteri malas atau saja minta excuse. Sedangkan apa yang terjadi adalah perubahan hormon terutama di peringkat awal kehamilan

#4. Mudah Diserang Penyakit

Saya tidak pasti wanita lain tetapi inilah yang berlaku kepada saya ketika disahkan hamil untuk anak kedua dan ketiga. Anak sulung seingat saya tidak alami demam. Tetapi untuk anak kedua dan ketiga, saya diserang batuk dan selesema; dan apabila membuat ujian kehamilan saya positif hamil.

Kemungkinan kebetulan sahaja. Tetapi wanita hamil memang mudah terdedah kepada jangkitan penyakit. Anda boleh baca perkara yang tidak boleh anda lakukan ketika hamil. Salah satunya elakkan berjumpa dengan orang yang ada penyakit berjangkit.

#5. Loya Dan Alahan

Yang inilah paling ketara terjadi kepada ibu hamil. Juga dikenali sebagai morning sickness. Ada juga bukan sekadar loya sebelah pagi, tetapi juga muntah-muntah sebelah petang dan malam. Kasihan kan?

tanda-tanda awal kehamilan loya dan alahan

Apabila loya atau alahan datang menyerang, memang kebanyakan kerja tidak boleh dibuat. Kepala terasa berat, hampir semua makanan juga tidak boleh masuk ke dalam perut. Ada yang baru sahaja masuk ke tekak, habis dihamburkan semuanya.

Masalah ini bukan sahaja membuatkan ibu hamil menjadi lemah, bayi dalam kandungan juga tidak mendapat nutrisi secukupnya. Apa nak buat? Anda boleh baca tips elak muntah ketika hamil

Ada juga keadaan si ibu hamil tidak mengalami apa-apa simptom loya atau alahan. Sebaliknya si suami pula yang tidak lalu makan dan muntah. Saya pun teringin juga nak melihat suami saya yang muntah-muntah. Mana tahu kandungan ketiga ini giliran suami pula mengalami alahan. Hihi

Cukup 5 tanda yang mungkin berlaku kepada ibu yang baru memasuki fasa awal kehamilan. Ketika fasa ini, anda perlu banyak sabar kerana badan sedang menyesuaikan diri dengan perubahan baru. Suami juga perlu ambil peranan jika sayangkan isteri anda. Lagipun anak yang dikandung anak anda juga kan?

Sebelum saya akhiri artikel saya, saya ingin kongsikan tentang kegagahan seorang wanita hamil yang menaiki candi tanpa rasa letih dan tercungap-cungap. Ketinggian yang bukan main-main, kalau wanita biasa atau lelaki pun boleh mengah dan berhenti rehat di pertengahan tangga. Jom kita dengar apa nasihat wanita gagah ini untuk kekal bertenaga sepanjang kehamilan.

Sila kongsikan artikel ini sekiranya anda merasakan ianya bermanfaat buat saudara dan kenalan anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge