10 Resepi Mudah Untuk Ibu Berpantang Yang Suami Gerenti Boleh Masakkan :)

Assalamualaikum wbt..Salam Sejahtera…

Kandungan saya sudah pun nak masuk enam bulan. Kali ini sedikit nervous kerana bercadang untuk berpantang sendiri di rumah. Maklumlah ibu dah pun meninggal empat tahun yang lepas. Nak berpantang di rumah mertua pula rasa segan nak mintak tolong banyak-banyak especially jika suami terpaksa pulang bekerja semula.

Saya yakin mesti ramai yang alami dilema seperti saya. Ada juga yang terpaksa berpantang sendiri kerana ibu kandung masih bekerja. Pendek kata, 1001 alasan dan sebab yang akhirnya membawa kepada perancangan untuk berpantang sendiri di rumah.

Ketika waktu inilah, suami kena ambil tanggungjawab extra untuk menjaga isteri masing-masing. Maklumlah selepas bersalin, badan tak kuat mana dek kerana darah banyak keluar. Belum lagi urusan untuk settlekan anak-anak yang lain termasuk baby baru.

Barulah isteri tidak serik untuk hamil lagi, betul tak?

resepi mudah ibu dalam pantang

Jadi sebelum bersalin, kena buat perjanjian siap-siap dengan encik suami (wajib buat tau). Antara tugasan yang diamanahkan untuk suami saya ialah memasak lauk pauk untuk isterinya yang sedang dalam pantang (satu family boleh makan pun sebenarnya).

Kalau ikutkan belah keluarga saya, ikan merupakan menu utama dalam penyediaan menu berpantang. Maklumlah kami orang Terengganu. Ayam atau daging memang kena pantang dulu dalam 10 hari pertama. Tapi, saya tidak kisah sebab memang lebih suka makan ikan berbanding ayam.

Lagipun, ikan ternyata lebih bagus untuk otak.

10 Resepi Mudah Untuk Ibu Berpantang

Saya kongsikan 10 resepi di bawah khas buat para suami yang bakal mengambil tanggungjawab sebagai chef ketika isteri di dalam pantang. In shaa Allah, caranya memamg mudah. Lagipun bahan masakan untuk ibu berpantang tidaklah serumit mana.

Masak dengan kasih sayang, tentu lebih sedap rasanya kan? Jom follow 10 resepi di bawah.

#1. Ikan Panggang

  1. Basuh bersih dan kelar ikan kembung/selar/merah/tenggiri
  2. Lumurkan garam, kunyit dan lada hitam pada badan ikan (kalau anak jaundis, lumurkan garam dan lada hitam sahaja)
  3. Bakar atau panggang menggunakan pemanggang ajaib
  4. Jika mahukan ikan bakar beraroma, balutkan ikan dengan daun pisang ketika proses memanggang.
  5. Siap dan boleh makan bersama nasi panas yang ditabur lada hitam tumbuk.

#2. Singgang Ikan

resepi mudah ibu berpantang.jpg

  1. Satukan kunyit hidup, lengkuas, bawang putih dan asam keping ke dalam periuk yang berisi air
  2. Didihkan. Bagi didih lama supaya air-air perencah turun.
  3. Bila sudah didih dalam tempoh yang agak lama, masukkan ikan tenggiri/ selar/kembung. Perasakan dengan garam
  4. Angkat apabila ikan sudah masak

**Biasa kami menggunakan ikan tongkol untuk memasak singgang ikan. Tetapi untuk ibu berpantang, ikan tongkol ini dikatakan gatal. Jadi gunakan sahaja ikan selar/kembung atau tenggiri.

**Kunyit, lengkuas dan bawang putih nak tumbuk atau hiris-hiris pun boleh.

#3. Sup Lobak Putih

  1. Panaskan minyak zaitun. Tumiskan bawang putih dan bawang merah sehingga layu
  2. Masukkan ikan bilis dan tumis seketika. Masukkan air dan didihkan sehingga layu
  3. Bila sup mendidih, masukkan lobak putih dan sedikit lada hitam. Perasakan dengan garam

**Nak nampak cantik, boleh hiriskan lobak merah halus-halus

**Lobak putih bagus sangat untuk banyakkan susu badan. So menu ini memang menjadi kewajipan ketika berpantang

#4. Sup Ikan Merah

resepi mudah ibu berpantang.jpg

  1. Panaskan sedikit minyak zaitun. Tumis bawang merah, bawang putih, halia bersama kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang sehingga wangi
  2. Kemudian masukkan air secukupnya. Bila mendidih, masukkan kentang.
  3. Agak-agak kentang dah empuk, masukkan ikan. Kemudian masukkan lada hitam dan sedikit garam.
  4. Taburkan daun sup bila hidangkan kepada mak berpantang :)

#5. Tenggiri Goreng Halia

  1. Bersihkan ikan tenggiri dan lumurkan ikan dengan garam dan kunyit.
  2. Goreng dengan sedikit minyak
  3. Baki minyak digunakan untuk menumis halia, bawang merah dan bawang putih yang dihiris sehingga naik bau
  4. Masukkan sedikit air dan kemudiannya masukkan ikan yang sudah digoreng tadi

#6. Ayam Bakar Lada Hitam

resepi mudah ibu berpantang.jpg

  1. Basuh ayam sehingga bersih
  2. Kisar bawang besar, bawang putih, dan halia
  3. Bahan kisar bancuh bersama sos cili, kicap pekat, serbuk lada hitam, madu, sedikit garam dan gula
  4. Perap ayam dengan bahan yang telah disatukan
  5. Bakar/panggang menggunakan pemanggang ajaib

**Boleh dimakan bersama bersama sup sayur

**Mak saya tidak benarkan saya makan kicap mahupun sos cili ketika di dalam pantang. Jadi, jika anda tidak mahu campurkan bersama pun boleh juga.

#7. Sup Daging Bersama Kentang Dan Carrot

  1. Potong daging dan bersihkan
  2. Tumis bawang besar, bawang putih, halia bersama kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga sehingga naik bau
  3. Masukkan air, daging dan kentang. Didihkan sehingga daging dan kentang empuk
  4. Masukkan hirisan lobak merah

#8. Kerabu Pegaga

resepi mudah ibu berpantang.jpg

  1. Tumbuk bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas, kunyit, lada hitam dan ikan bilis sehingga lumat
  2. Gorengkan tanpa minyak sehingga bahan kering
  3. Gaulkan dengan pegaga yang telah dibersihkan
  4. Makan dengan nasi panas dan ikan bakar memang ummp!!

#9. Tenggiri Berserai

  1. Bersihkan ikan tenggiri. Lumurkan garam dan kunyit pada ikan. Kemudian bakar menggunakan pemanggang ajaib.
  2. Dalam kuali lain, tumis bawang merah, bawang putih, sedikit halia dan serai yang telah diketuk.
  3. Masukkan sedikit air asam jawa dan biarkan mendidih seketika.
  4. Kemudian masukkan ikan yang telah dibakar tadi.
  5. Boleh juga masukkan lada hitam yang telah ditumbuk lumat

#10. Ikan Merah Stim Halia Dengan Bawang Putih

resepi mudah ibu berpantang.jpg

  1. Bersihkan ikan merah. Lumur ikan dengan garam.
  2. Hiris bawang besar, bawang putih, halia, serai, daun limau purut, lobak merah dan batang saderi
  3. Letakkan ikan dan semua bahan hirisan di dalam satu bekas. Kukus sehingga ikan masak.

**cara memasak untuk ibu berpantang adalah lebih simple kerana ada banyak yang ibu masih belum boleh makan. Umpanya cili padi, dan sos ikan. Andaikata mahukan rasa yang agak masam, boleh perah limau nipis, tetapi jangan terlalu banyak.

#Suami Anda Pasti Mampu Laksanakan Tugasan Dengan Baik!

Memang betul resepi di atas sangat mudah malah sangat menyihatkan. Jika suami anda memang betul-betul kaku di dapur, mungkin anda boleh berikan dahulu sedikit latihan sementara anda masih belum bersalin. Yalah, ada juga suami yang tidak tahu mana satu halia, mana satu lengkuas kan?

Kepada anda yang sedang hamil, selamat menikmati perjalanan indah sebuah kehidupan. Kepada anda yang sudah pun berada dalam fasa pantang, hati-hati dengan pemakanan anda. Jaga dan kawal pemakanan supaya anak anda sihat dan anda juga tidak diserang sembelit teruk!

Selamat mencuba!!

1 comment for “10 Resepi Mudah Untuk Ibu Berpantang Yang Suami Gerenti Boleh Masakkan :)

  1. ellyna ali
    January 21, 2016 at 4:16 pm

    Hi , boleh tak saya mohon untuk share resepi ibu berpantang anda dalam portal Murai? Kami akan kreditkan kreditkan blog anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge