5 Amalan Yang Dilarang Ketika Dalam Pantang Bersalin Yang Wajib Para Ibu Tahu.

Assalamualaikum wbt..Salam Sejahtera..

Dalam banyak-banyak ‘tempoh waktu’ berpantang, saya rasa pantang bersalin paling tough bagi saya. Nama pun dalam pantang kan, tentu sekali banyak amalan yang dilarang untuk dilakukan. Dalam masa yang sama, banyak perubahan persekitaran dan pada diri sendiri yang berlaku secara mendadak.

Perubahan Yang Berlaku Selepas Bersalin

Sebaik sahaja melahirkan, antara perubahan paling ketara ialah kehadiran bayi comel yang perlu kita jaga sebaik mungkin kerana waktu ini bayi adalah sangat fragile. Bagi yang pertama kali melahirkan, mungkin agak kekok. Sebab itulah, bantuan daripada orang yang lebih arif seperti ibu, ibu mertua atau adik beradik yang sudah pun berpengalaman sangat diperlukan.

Amalan Yang Dilarang Ketika Dalam Pantang Bersalin 4

Perubahan seterusnya ialah tahap kesihatan kita. Baru sahaja semalam kita segar bugar sebelum kelahiran, namun sebaik sahaja selepas kelahiran, badan menjadi sedikit letih akibat proses meneran. Kesakitan atau rasa ngilu di bahagian vagina mula terasa. Bagi yang melahirkan secara pembedahan, perut mula terasa berat.

Kemudian, hari demi hari akan ada perubahan selanjutnya. Payudara membengkak sampaikan ada ibu yang demam bengkak susu. Ada pula yang terpaksa bermalam di hospital dengan lebih lama kerana keadaan bayi yang masih belum stabil. Waktu tidur malam pun sudah tidak seindah sebelum ini.

Ada bayi yang bangunnya setiap dua jam atau sejam untuk meminum susu. Dan ada pula jenis bayi yang enggan tidur malam!

Ketika menghadapi perubahan di atas, kadang-kadang datang juga rasa penat dan letih, Tetapi apabila melihat bayi yang ketika awalnya sangat kecil; membesar dengan sihat di depan mata…semua pengalaman dalam tempoh berpantang sangat bernilai harganya. Lain orang, lain pengalamannya.

Dalam menghadapi perubahan-perubahan yang berlaku, ibu yang baru lepas bersalin WAJIB tahu beberapa perkara yang menjadi pantang supaya perkara-perkara yang tidak diingini dapat dielakkan.

Amalan Yang Dilarang Ketika Dalam Pantang Bersalin

  • Jangan Duduk Mencangkung Dan Bersila

Pada saya, ini pantang nombor satu, terutamanya bagi ibu yang bersalin secara normal. Duduk mencangkung boleh mengakibatkan peranakan turun dan melemahkan otot-otot perut. Seboleh mungkin kita mahukan jahitan pada vagina cepat kering dan sembuh, jadi elakkanlah duduk mengangkang, bersila mahu pun mencangkung.

Jika anda mahu mengambil barang di lantai, usahakan untuk mengambil se ‘slow motion’ yang boleh. Duduklah bertimpuh jika anda perlu duduk di lantai.

Bidan urut saya pula mencadangkan selepas tempoh 3 bulan selepas bersalin barulah boleh duduk bersila walaupun luka jahitan telah pulih.

In shaa Allah, saya akan mengikut saranan dari bidan saya untuk tidak bersila selama 3 bulan walaupun jahitan telah pun kering seawal 4 hari (menurut misi yang buat lawatan ke rumah) .Syukur. Mungkin juga disebabkan Set Berpantang yang saya amalkan sebaik sahaja saya melahirkan yang sangat-sangat membantu luka cepat kering.

  • Jangan Jalan Laju

Saya yang kurang ilmu ketika bersalin anak pertama dulu kurang menghiraukan pantang yang kedua ini. Maklumlah, tak rasa sakit pun. Buat apa nak jalan perlahan. Semua perkara jadi lambat..huhu.

Ibu banyak kali menegur apabila melihat saya jalan laju. Kata ibu, selepas bersalin kena jalan perlahan supaya jahitan cepat pulih dan sistem badan dapat berfungsi dengan baik. Mungkin kita tak rasa letih, tetapi hakikatnya banyak urat terputus ketika bersalin.

Kebetulan pula kelahiran kali ini saya rasa lebih bertenaga. Set berpantang yang saya amalkan memang sangat membantu memberikan tenaga tambahan kepada saya walau ada kalanya saya tidak cukup tidur pada waktu malam. Orang yang datang melawat pun kata saya nampak sihat dan bertenaga, ALhamdulillah.

Walaupun terasa sihat dan bertenaga, perlu juga beri masa untuk badan kembali normal dengan mengelakkan aktiviti tangkas atau aktif ketika dalam pantang.

  • Elakkan Tersepak Ibu Jari Kaki

Nasihat ini juga saya peroleh dari arwah ibu saya ketika pantang anak pertama. Saya pun kurang faham kaitannya pada permulaan. Setelah membuat sedikit bacaan, rupanya urat atau saraf di bahagian ibu jari kaki bersambung ke bahagian rahim dan vagina.

Amalan Yang Dilarang Ketika Dalam Pantang Bersalin

Jika tersepak dengan kuat, tumpah darah boleh berlaku. Apabila darah banyak keluar, ibu boleh pitam dan paling menakutkan ianya boleh menyebabkan kematian.

Sebab itulah, jalan perlahan supaya ibu jari anda tidak terlanggar sesuatu dengan tekanan yang kuat.

  • Pantang Makan

Hal yang satu ini memang ramai yang sedia maklum. Berpantang makan; selain boleh mengembalikan bentuk badan, ia juga untuk mengelakkan rasa gatal atau sebarang jangkitan pada vagina.

Bagi yang melahirkan secara pembedahan, lagilah kena jaga extra bab-bab pemakanan. Jangan bedal semua terutamanya ikan-ikan berbisa seperti ikan keli. Begitu juga dengan sayuran atau buah-buah yang dikatakan ‘sejuk’.

Dalam istilah perubatan moden, saya kurang pasti bab pantang makan. Yang saya tahu, doktor ada bagitahu boleh makan semua. Ketika saya dalam wad, pihak hospital memang hidangkan menu biasa untuk pesakit walaupun yang dalam pantang. Ketika saya di wad ahri tu, ada kari ayam, ikan masak sambal, kangkung goreng.

Nasib baiklah suami saya masak lauk dari rumah dan bawakkan untuk saya di hospital.

  • Pantang Bersama

Tempoh yang disarankan ialah ialah 100 hari. Tapi, kalau ikutkan saya kalau boleh nak lebih dari 100 hari. Perasaan takut untuk bersama memang sangat menebal setiap kali lepas bersalin.

Macam-macam dalam fikiran. Takut jahitan terbuka, takut luka , takut sakit. Yalah..kata orang sakitnya sama seperti malam pertama. Aduhai…

Pada saya, protection ketika bersama sangat perlu memandangkan bayi masih lagi kecil. Walaupun menyusu dan masih belum haid, ada banyak kes yang saya jumpa ibu tetap berpeluang untuk hamil.

Rezeki anak, rezeki dari Allah. Tetapi, pada saya tidak salah untuk merancang supaya anak yang masih kecil dapat dijaga sebaik mungkin. Kalau hamil semula terlalu cepat, risau pula anak sebelumnya kurang mendapat perhatian akbiat alahan dan keletihan.

Apa-apa pun, pilihan di tangan sendiri.

Setakat hari ini, saya kongsikan 5 amalan untuk dielakkan selepas bersalin. Nak tulis panjang lagi, tapi sebab saya pun dalam pantang, kenalah rehat lebih sedikit berbanding hari biasa..hihi.

In shaa ALlah, saya akan sambung lagi beberapa pantang dalam artikel yang akan datang.

Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini untuk panduan ahli keluarga, juga kenalan yang sedang berpantang atau sedang menunggu kelahiran. Semoga ianya bermanfaat untuk semua.

2 comments for “5 Amalan Yang Dilarang Ketika Dalam Pantang Bersalin Yang Wajib Para Ibu Tahu.

  1. February 1, 2016 at 6:14 pm

    Jangan pantang nampak ye mommies..Hehehe

  2. February 3, 2016 at 12:25 am

    Info yang sangat bermanfaat :)
    Fatin recently posted…Review Pince & Pints Lobster @ Bangsar, Kuala LumpurMy Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge